#2

Pagi itu nyaman sahaja. Sejuk, indah nian dan sunyi bunyi ayam kokok sahaja sahut-bersahutan. Oh, tidak lupa juga bunyi sudip berlaga dengan kuali  tung-tang-tung-tang di dapur.

Banyaknya pisang depan beranda rumah ni, mesti Tok Abah ambil dari kebun semalam. Nak makan pun terjeluak dah selalu buat pisang goreng, kek pisang, sira pisanglah, jemlah. Nenek sangat kreatif bab-bab mengguna semula bahan ni, walaupun fizikalnya dah pun dimamah senja. Dengan kudrat sikit-sikit tu lah, dia gagah lagi bangun setiap kali anak cucunya datang macam hari ni. Teringat cerita nenek dengan perompak bulan lepas. Warga emas pun dibalunnya. Hai dunia...dunia...

"Along, lepas mandi karang tolong jual pisang ni naik basikal ye." kata Mak Ngah.

"Nak ikut. Nak ikut." Min yang baru tujuh tahun pun saja menyibukkan diri juga pagi-pagi ni.

"Jom." sepatah kata Along. Along tu anak Mak Ngah. Sepupu Min lah.

Along patah balik menuju ke basikal tua merah Usu. Menimbang tara banyak mana pisang yang boleh dibawa, sekali dengan satu beban yang bertambah, Min yang tembam.

"Bolehlah, tapi Min kena pegangkan pisang lah. Boleh ke?" Along bertanya.

"Boleh. Boleh."

Itulah asal ceritanya macam mana Min boleh ada atas basikal sambil jaja-jaja pisang. Daripada setandan yang kami jual seikat-seikat dengan harga RM 2 seikat, dah tinggal dua sikat sahaja lagi. Kali ini tempat terakhir yang kami lalu, atas bukit depan rumah Tok Abah. Bukit tu tinggi lah juga, curam sedikit. Sebab tu ia menjadi lokasi terakhir kami untuk menjaja. Jika di tanah landai tadi cuma seperti main konvoi basikal di kawasan perumahan di bandar, yang atas ni macam Le Tour De Langkawi dah naik Tanah Tinggi Genting. Huh, semput.

"Pisang, Pisang. Dua ringgit, dua ringgit."

Ada seorang mak cik duk melambai-lambai dari kejauhan. Rumah warna kuning dengan lori tua yang dah berwarna karat.

"Min, berhenti dekat rumah kuning tu." Along memberitahu. Yalah, Min kan driver. Baru tukar posisi tadi.

Basikal merah Usu terus membelok memasuki perkarangan rumah. Mak cik tu masih lagi setia menanti di hadapan beranda rumah. Sesi urus niaga terakhir pun berlangsung antara Along dengan dia. Min hanya pemerhati kehormat. Penat juga ya kerja ni. Em, betul juga dunia ni bukan tempat rehat, nak rehat lepas matilah.

Duit empat ringgit bertukar tangan. Alhamdulillah, dah habis pun.

Kami terus bertolak pulang ke rumah Tok Abah. Tak jauh pun, nak jalan kaki pun boleh. Hati dah bunga-bunga, jualan hari ini habis.

"Gedebuk!"

"Waa, waa." Dua saat senyum terus jadi menangis. Along berdarah dekat atas kepala bahu. Min pula pendarahan yang teruk di hidung. Entah patah tidak.

Basikal tua merah Usu pula dah bengkok tayarnya, sekali dengan rim.

Betul-betul depan rumah Tok Abah kami terjatuh. Mak Ngah yang sedang menyiram pokok pun terus berlari mendapatkan kami. Tak sempat nak tanya dah macam mana boleh jatuh, bunyi esak tangis Min yang nyaring membuatkan semua perbualan terhenti. Cepat-cepat mereka di bawa masuk dalam rumah.

Seminggu selepas itu, sekolah sudah dibuka semula. Nak tak nak, terpaksa jugalah datang ke sekolah. Luka di hidung sudahpun menjadi keruping. Bukan sedikit, satu hidung jugalah. Jika dilihat dari jauh, nampak macam hidung koala pula. Dan dalam ramai-ramai orang yang nampak, seorang ni je yang baik hati menegur, " Kenapa dengan hidung awak tu Jasmin?"

Alahai cikgu, janganlah tanya. Min menjawab dengan sengihan di bibir.

Itu cerita 7 tahun lepas. Hari ini pula, "Mancung ya hidung Jasmin. Tapi, macam bentuk bawah botol air pepsi tu pula."

Alahai ustaz, jujurnya.

Dan cerita di tempat kejadian yang belum diceritakan ialah, Min selaku driver terlampau baik hati mengayuh basikal semasa menuruni curam. Basikal hilang kawalan dan terbabas di tengah jalan menyebabkan kedua-dua penumpang cedera terseret jalan sebelum basikal berhenti dengan momentum yang kuat hasil kelajuan maksima akibat kayuhan dan fizikal jalan yang cerun. Sekian berita hari ini.

Berita ni, Min sahaja yang tahu. Jangan beritahu orang lain ya.



Ulasan

Catatan Popular