Bertangguh pencuri masa

Kali ini saya tulis entri ini bukan sebab saya tidak pernah bertangguh kerja dan rajin.

 Sebab saya amatlah suka perihal yang ini. BERTANGGUH dan KERJA AKHIR WAKTU. Bukan tidak pernah orang membebel pada saya, nasihat itu dan ini. Bukan juga sebab saya tidak pernah membaca artikel dan apa sahaja yang berkaitan akibat perbuatan ini. Dan bercakap tentangnya juga nampak sangat memalukan sebab saya sendiri melakukannya. Titik. 

Pagi ini sahajapun saya telah melakukannya kerana saya terlalu obsesi dengan wayang gambar walaupun saya tidak pernah masuk panggung wayang. Semacam televisyen dan internet kawan akrab saya. Tetapi saya tidak mahu. Mereka seperti melekat pada saya atau sememangnya saya yang melekatkan diri saya dengan mereka. Apa yang saya dapat?

Baju setambun tidak berlipat, lantai tidak bersapu...dan saya juga sangat LAPAR kerana tidak memasak tadi. Growl..(Bunyi perut)

Baikkah? Tidak. Masa macam senyum dekat saya kerana sekali lagi dapat memancung saya. Saya masih lagi terkedek-kedek berjalan mengejar masa yang hampir putus. Tak pernah sekalipun dia menunggu saya. Setiap saat dia berlalu pergi begitu sahaja. Sanggup kah saya melihat masa saya yang berharga itu berlalu macam dihembus angin lalu begitu sahaja? Semacam orang yang tahu bila dia mahu mati lalu cermat menggunakan sisa waktu yang ada. Sebaliknya yang lebih tragis, saya tidakpun tahu bilakah tarikh jantung akan berhenti berdegup seperti saat ini masih mengepam darah ke seluruh badan.

Jika saya dapat katakan begini setiap kali hembusan nafsu melekap di telinga, sudah tentu saya tidak akan membebel dan sekurang-kurangnya menyedarkan diri saya dan kalian (jika kalian mahu ambil pengajaranlah). Hidup ini terlampau banyak gula-gulanya yang bertaburan di tepi perjalanan hidup. Manis dan menyenangkan hinggakan kadang-kadang terbuai dengan nikmat sementara. 

mek lin : Hidup ini sekali sahaja. Saya pun bukannya tidak pernah melakukan dosa untuk menasihati orang lain. Hakikatnya, apa yang saya tulis adalah nasihat kepada diri saya sendiri yang utama.

Ulasan

Catatan Popular