Projek Nilam 2026/1

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

Mengambil roh Murabbi IIUM. Beberapa hari ini aku mengambil masa untuk bercuti dan menghilangkan diri (hingga terjadi selective mutism). Mengemas, melihat kembali kertas-kertas serta pakaian yang tidak pernah aku fikirkan - kepentingannya. 

Terjumpa kembali persona aku suatu masa dulu. Pada planner hitam yang aku coretkan di PJ dan awal perjalanan ke Kuantan. Serta coretan rakan-rakan seperjuangan bermula daripada kakak satu semester; Kak Ina. 

Beberapa hari yang lalu aku jumpa buku ini dan terus masuk dalam pembelian bulanan, bersama beberapa buku lain. 

Pada mula bacaan aku rasa marah; kenapa penulis mempunyai memori di bangku sekolah, universiti. Kerana cerita yang penulis tuliskan adalah sebahagian kisah yang dilalui mereka, dihadam dengan rasa. Seperti Hlovate, Syud, Ainul Farihah, Pak Sako, juga Hamka dan kawanku yang rajin menulis dulu Aini. Ada beza dengan penulis fiksyen penuh nuansa romantika atau sains.

Sedangkan aku, memori - memori aku hilang. Daripada kecil hingga baru sahaja tahun lepas. Memori itu hilang langsung. Hingga tersisa, beberapa bingkai, yang aku sendiri tidak tahu terisi dengan apa. 

Cerita, gambar, tulisan adalah memori. Ada orang mengingatinya sebagai yang terindah mengiringi hari, orang melupakan semuanya kerana perasaan itu, hanya tinggal pada orang yang ditinggalkan. Memori memagut diri untuk terus melangkah.

Pada beberapa jeda yang aku masih marah itu, aku tinggalkan buku ini katup. Namun, aku ambil semula buku ini, untuk mengatasi emosi dan egoku sendiri.

Buku ini memberikan semua rasa yang aku lupa. Membongkar apa dan mengapa. Semua rasa dan warna apabila aku membaca buku fiksyen dulu kembali. Rasa berpasir, pahit, kelat lidah apabila terkedu dan takut. Dialog yang meruntun.

Adi watak utama yang mempunyai kisah hitam dua kali, pada awal dan klimaks; dia tidaklah seperti sangat tragik, kematian atau kehilangan. Adi menerima kisah tragik pertama yang menyebabkan dia mendapat kelebihan membaca warna manusia. 

Adi hilang kepercayaan dalam keterujaan, hingga meranapkan seseuatu yang dirancang dan diharapkan gemilang. Sejujurnya, buku ini, memberikan jalan buat orang menemui diri dalam pelarian. 

Dan aku menyukai buku ini semula membaca cebisan normal hidup orang lain, pada kanvas memori aku yang kosong. Patutlah, orang menulis jurnal. Sekurang- kurangnya, apabila otak kamu menipu diri kamu yang lalu atau otak tiada bukti kehidupan kamu, ada bukti bahawa, kamu pernah lewat di perjalanan yang nian.

Melly 1.39 am
Kuantan

Ulasan

Catatan Popular