My Umrah Journey

Assalamualaikum. Hi aokmer semua!

Selamat Tahun Masihi semua. Ada orang tanya aku, "Awak buat apa New Year?"
Tak pernah sepanjang hidup dapat pertanyaan ini, jadi rasa baru lah sikit.

Sebab bukan New Year aku, Maal Hijrah dah lama lepas, jadi jawapan aku; berehat, tidur dan bermalas-malasan. Heeh.

Oh ya nak buat bingkisan lah sedikit, tentang memori yang lalu.

Aku dah buat salah satu ibadah wajib tahun lepas....baru sahaja; 13-26 Disember 2019. Aku dan keluarga enam orang. Ambil cuti lebih kurang sepuluh hari macam tu. Alhamdulillah dah sampai semula ke Malaysia sekarang.

Sebenarnya tak banyak pun yang aku nak ceritakan; cuma aku boleh beritahu, sesiapa yang ada duit lebihan, cepat-cepatlah pergi Mekah dan Madinah. Ada sesuatu yang akan masuk dalam hati kamu semua menjejak kaki ke dalam dua tanah haram ni. Gambar pun tak dapat berbicara. Mata, kepala dan hati sahaja yang mampu meraih rasa ini. Jangan katalah susah atau rasa-rasa masih belum dijemput. Bawa sahaja sekeping hati yang mahu bertemu dengan-Nya dan duduk dalam Baitullah. Insya-Allah, segala apa yang dicari akan bertemu. 


"Sesungguhnya solat dapat mencegah perbuatan keji dan mungkar." (Surah Al-Ankabut; Ayat 45). Bagaimana pula ada orang solat tapi masih lagi buat perkara keji?

Teruskan bersolat, jangan tinggal, dan sambil-sambil itu perbaiki kualiti solat. Cari cara untuk tahsin solat. Sebenarnya, umrah yang lalu terlampau banyak pengajarannya buat aku sendiri. Usah terlampau gundah dengan cebis-cebis kesusahan hati dan masalah-masalah hubungan manusia. Dalam leka duniawi mengurus urusan manusia dan dunia (baca: ubat, pesakit, colleague, keluarga dan diri sendiri) Allah masih belum meninggalkan aku. Banyak lagi yang Allah beri untuk memandu perjalanan hidup ini. Disamping perjalanan mengerjakan umrah; aku dapat tahu kelas-kelas tahsin bacaan Al-Quran di Madinah, perkongsian tahsin solat oleh Dr. ustazah isteri Che Am Raihan (lupa namanya), wakaf Saidina Uthman yang tidak luput hingga 1400 tahun, cara solat jenazah, solat-solat sunat yang tak pernah kau ambil tahu, beriktikaf dalam masjid yang agung, mempelajari tempat-tempat sejarah di Mekah dan Madinah yang baru kau faham bagaimana dakwah Rasulullah saw dan kegigihan baginda hingga daripada gelap jahiliyyah Arab pada waktu itu ditembusi sinar cahaya hingga ke Tanah Melayu. 

Masjidil Haram; pintu 79 (ya pintu ini bermakna bagi aku)
Tengok Jabal Nur yang tinggi setinggi 642 m yang Rasulullah s.a.w ulang alik mengasingkan diri dan Siti Khadijah hantar makanan kepada baginda kau akan menangis, tengok Jabal Thawr kau akan sayu dengan cerita hijrah dan tempat sembunyi baginda. Segaris dengan pintu 21 Masjid Nabawi terus ke Bukit Uhud kau akan lagi pilu tempat itulah terjadinya perang yang Rasulullah saw terkena panah yang tembus pipi hingga tercabut dua geraham Rasulullah saw semasa perang tersebut, kerana dia pesuruh Allah dan baginda memikul tanggungjawab tersebut untuk membawa risalah ini untuk semua umat. Menyusuri perjalanan Mekah-Madinah lagilah kau rasa terharu, lebih 400 km berhijrah dengan Saidina Abu Bakar r.a. untuk menyelamatkan akidah apabila tentangan musyrikin Mekah kemuncak hingga ingin membunuh baginda dengan hanya berjalan kaki hingga melecet tumit kaki disebalik padang pasir, bukit-bukit berbatu, dan tanpa air.

Jabal Thawr dimana ada gua tempat Rasulullah s.a.w bersembunyi dengan Saidina Abu Bakar

Jabal Uhud. Jika ada perumpamaan dalam Hadis-hadis Nabi dengan Jabal Uhud, kau bayangkanlah betapa besarnya bukit ini sepanjang tujuh (7) kilometer panjang; sama ada perumpamaan dosa atau pahala. Sangat besar. 


Masjid Nabawi, masjid yang tenang
                        

Payung ikonik yang terbuka menjelang Subuh hingga tengah malam

Ya, orang kata umrah makbul itu apabila orang yang balik umrah tu berubah daripada perangainya yang lama. Tapi bagi aku, bagaimana praktik selepas umrah setelah diberi pelajaran singkat disana. Sama macam solat, bagaimana keberkesanan solat yang berkualiti dapat menjaga orang yang solat daripada menzalimi diri sendiri (perbuatan keji dan mungkar). Tapi wallahua'lam, aku tidak tahu rahsia Allah. Cuma aku yakin dan harapan aku semoga umrah yang dibuat lalu juga berkualiti dan diterima hendaknya serta diampuni segala dosa-dosa yang lalu. 

Sesungguhnya banyak lagi rahsia-Mu yang kami tidak tahu. 

Aku tak rasa aku perlu kumpul duit untuk bercuti ke negara lain. Sebab aku rasa tujuan musafir ini yang paling bermakna untuk kau belanjakan dan usahakan.  Semoga berezeki lagi ke sini Insya-Allah. 

Salam hijrah Insya-Allah, 

Catatan bukan Tahun Baru, cuma catatan seorang pengembara.


Special clip untuk kipas-susah-mati Raihan dalam ceramah tahsin solat. Banyak sangat yang engkau dapat dalam perjalanan umrah ini daripada yang sudah dibelanjakan. Maka nikmat Allah yang mana lagi yang kamu mahu dustakan?

Melly Coleslow 
a.k.a Amalina Ahmad.

Ulasan

Catatan Popular