WARUNG TEPI SUNGAI ITU

Assalamualaikum.

Orang kalau tak ada apa yang dibaca buat bahan menulis, tak ada apa yang menarik untuk ditonton selain Ojakgyo Family dan INKLIT, dia akan tulis apa-apa yang dia ingat.

Satu lagi sebab dia pelupa, tak nak kehilangan memori itu.

Adat, setiap kali berkunjung di kampung di Wakaf Tengah, Kuala Terengganu, sibuk nak ke Pasar Payang di tepi Sungai Terengganu nu ha. Buat beli keropok keping bekal sebelum balik pula cuti sekolah berikutnya atau beberapa kuih-kuih yang hanya ditemui di Pasar Payang ini sahaja. Kuih telur buaya, bahulu beras, kerepek sagu, tapak seman, bepang pulut; nak cari kat mana lagi ada? Walaupun pasar ini dah tua pun, bau pasar lagi, tapi setiap kali cuti sekolah masih ramai yang berkunjung ke sini. Itu pun pokok-pokok bergoyang mengatakan yang Pasar Payang yang terkenal seantero Malaya selain Pasar Siti Khadijah di Kelantan bakal lupus. Tak kencang sangat kut sebab cuma berita utama di Sinar Harian, bukan akhbar mainstream macam Metro, agaknya? Sebab tak pernah pun terbeli akhbar itu. TV3 pun tak ada buat terjahan bertanyakan soal peniaga di sana pun, mungkin angin itu bertiup sepoi-sepoi bahasa sahaja. Jangan tiba-tiba hilang tak ada sisa sudah tapak pasarnya itu.

Oh ya, warung tepi sungai.

Seusai semua urusan di bandar Kuala Terengganu, kami singgah di Bukit Tumbuh. Tempat asal rumah Tok (nenek). Singgah solat di masjid di situ. Tiba-tiba je abah cakap fasal warung tepi sungai itu. Ada sebuah jeti kecil dengan beberapa perahu. Abah cakap yang Tok Ki dulu selalu ajak pagi-pagi lepas Subuh lagi ke warung tu makan roti canai.

Abah: Tak ingat dah tu kut.

Tak pernah lupa pun. Butirannya tidaklah jelas, cuma memang selalu pun Tok Ki pimpin tangan pergi ke warung tu. Budak-budak lagi, umurpun lingkungan bawah tadika lagi. Selaku cicit sulung, tu yang dapat mandat besar jalan-jalan dengan Tok Ki setiap kali balik kampung di Terengganu ni. Rasanya trick ni Tok Ki ada ajar, nak bagi air cepat sejuk; letak dalam piring alas cawan tu, kemudian hirup perlahan-lahan. Pagi dulu tu ramai orang kat warung, perahu dekat tebing sungai pun banyak. Semua orang pun baya-baya Tok Ki lah. 

Waktu itu mana ada orang buat rumah batu dalam kampung ni. Rumah besar pun ada dekat simpang jalan tu je. Warna putih macam villa. Lama-lama tengok seram pula ada seketul je rumah dekat situ. Semuanya rumah papan termasuk rumah Tok. Nak pergi jamban malam-malam pun takut sebab dekat luar rumah. Rumah Tok dulu warna putih, tiang tinggi-tinggi takut banjir. Rumah Tok Ki pula sepelaung je dari rumah. Tak sampai empat langkah pun dah sampai dekat beranda. Warung tu pula jalan kaki pun tak berpeluh, dah rumahnya tepi sungai. Waktu-waktu tak ada air mandi dekat rumah Tok Ki, kalau rumah Tok sekarang tak ada air mandi air telaga Pok Jak, yang manual punya tu. Main lepas timba tarik dengan tali besar ibu jari. Gigil.

Lama dah. Lama sangat sampai tak ingat dah bila Tok Ki dah tak ajak pergi warung tu lagi. Al-Fatihah.

mek lin :: ingat lima perkara sebelum lima perkara


Ulasan

Catatan Popular